Gejala Penyakit Gonorea

Organ wanita yang boleh dijangkiti gonorea ialah seperti saluran kencing, serviks, rahim, tiub fallopia, kelenjar kemaluan seperti kelenjar Bartholin (yang terdapat di bibir kemaluan), kelenjar Skene's (yang terdapat di bahagian bawah lubang saluran kencing). Bagi lelaki pula, saluran kencing, epididimis (sebahagian daripada testis) dan kelenjar Cowper's mungkin dijangkiti. Selain membabitkan permukaan mukosa yang wujud pada saluran kemaluan dan organ reproduktif, jangkitan juga boleh membabitkan permukaan mukosa yang ada pada dubur, rektum, mulut, tekak dan mata.[1]

Penyakit gonorea ini dijangkiti melalui hubungan kelamin dan risiko jangkitan daripada satu hubungan kelamin dengan seorang yang dijangkiti gonorea ialah antara 30 dan 70 peratus. Bayi juga boleh dijangkiti apabila dilahirkan oleh seorang ibu yang berpenyakit gonorea. Kira-kira 30 peratus daripada bayi ini akan mendapat permasalahan sakit mata (bertahi mata) pada minggu pertama selepas dilahirkan.

Simptom bagi lelaki

Keluar cairan (discharge) daripada saluran kencing lelaki. Lazimnya keadaan ini berlaku 3 hingga 10 hari selepas bersetubuh dengan wanita yang berpenyakit gonorea. Kadangkala pesakit berasa kesakitan sewaktu membuang air kecil. Sebahagian kecil (15 peratus) daripada lelaki tidak mempunyai sebarang tanda jangkitan. Perlu diingatkan bahawa lelaki dan wanita berpenyakit gonorea yang belum dirawat boleh merebakkan penyakit ini kepada wanita yang disetubuhi termasuklah isterinya sendiri.[2]

Simptom bagi wanita

Tidak ada sebarang tanda yang khusus menandakan penyakit gonorea ini. Cairan yang keluar daripada faraj perlu dipastikan mengandungi organisma N gonorrhoeae sebelum membuat diagnosa dan memberikan rawatannya.

Sejarah hubungan kelamin yang dilakukan oleh seseorang yang dijangkiti penyakit gonorea perlu dijejaki supaya penyakit dapat dirawat dan dihalang daripada merebak. Apa yang lebih penting ialah untuk mengamalkan gaya hidup sihat, iaitu tidak mengadakan hubungan seks secara haram dan rambang.